Ahad, Ogos 09, 2009

kencing manis (diabetes mellitus)

Penyakit kencing manis atau diabetes mellitus antara penyakit kronik yang menyebabkan peningkatan gula (glukosa) dalam darah. Glukosa diperlukan oleh badan kita sebagai pemberi tenaga. Badan kita mendapat glukosa daripada pencernaan kanji (karbohidrat), buah-buahan atau gula. Glukosa yang diserap oleh usus akan diedarkan melalui sistem peredaran darah ke semua organ di dalam badan.

Proses penghantaran dan pengedaran glukosa ke setiap organ dibantu oleh hormon insulin yang dikeluarkan oleh pankreas. Hormon insulin membolehkan glukosa diserap oleh sel-sel. Proses ini akan terganggu apabila organ tertentu tidak bertindakbalas kepada hormon insulin atau pankreas tidak mengeluarkan insulin secukupnya. Ini mengakibatkan glukosa tidak boleh dibawa ke dalam sel dan tisu dan seterusnya paras gula dalam badan akan meningkat.



Ini akan merosakkan sel yang memerlukan glukosa untuk bahan bakar dan juga akan merosakkan organ dan tisu yang didedahkan kepada tahap glukosa yang tinggi. Gula yang berlebihan akan disingkirkan melalui air kencing. Ini sebabnya penyakit ini dikenali penyakit kencing manis. Tanpa insulin, sel badan tidak akan menerima bekalan glukosa walaupun kadarnya amat tinggi dalam peredaran darah. Ini menyebabkan badan akan kekurangan tenaga.

Bagaimana hendak mengetahuinya?

Penyakit kencing manis boleh diketahui melalui:
Ujian Darah
Fasting plasma blood glucose (FPG) atau oral glocose tolerance test (OGTT) iaitu darah seseorang itu diuji selepas dia berpuasa untuk masa yang ditentukan dan diuji semula selepas 2 jam minuman berglukosa tinggi. Pesakit dikatakan mengidap kencing manis apabila bacaan mencapai 7.0 mmol/l dan keatas atau apabila OGTT melebihi 11.1 mmol/l.

Ujian Air Kencing


Jenis penyakit kencing manis Jenis 1 - "Diabetes atau Insulin Dependent Diabetes Mellitus" (bergantung pada Insulin)Biasanya berlaku pada kanak-kanak dan remaja
Biasanya tidak dapat menghasilkan insulin

Jenis 2 - "Diabetes atau Non-Insulin Dependent Diabetes Mellitus" (tidak bergantung pada insulin)Jenis paling biasa ditemui dan lebih daripada 90% penghidap kencing manis adalah penghidap jenis ini.
Selalunya pada orang yang berumur dan berat badan berlebihan.

Siapakah yang berisiko mendapat penyakit ini?
  • Mempunyai berat badan berlebihan/obesiti
  • Mempunyai sejarah keluarga yang mengidap penyakit kencing manis
  • Kurang bersenam atau menjalani aktiviti fizikal
  • Mempunyai sejarah kencing manis ketika hamil atau pernah melahirkan anak melebihi berat 4.0 kg
  • Mengamalkan pemakanan yang tinggi dalam kandungan gula dan lemak


Sesiapa sahaja boleh mengidap penyakit kencing manis sekiranya mempunyai ciri risiko seperti di atas. Anda digalak menjalani ujian darah dan air kencing bagi memastikan anda sentiasa mengetahui tahap kandungan gula dalam darah anda. Simptom penyakit kencing manis.

Anda boleh mengalami berlainan simptom atau gejala. Walaubagaimanapun, gejala yang biasa dialami ialah:

  • Haus/dahaga (haus yang berlebihan)
  • Letih
  • Berat badan menurun
  • Penglihatan kabur
  • Otot lemah
  • Gatal
  • Pengidap penyakit kulit yang berpanjangan
  • Luka yang lambat sembuh
  • Kencing yang kerap
  • Gatal pada bahagian kemaluan
  • Rasa kebas

Anda boleh juga menghidap penyakit kencing manis tanpa apa-apa gejala. Jangan terlalu bergantung kepada gejala untuk mengetahui anda adalah penghidap penyakit kencing manis. Jalani ujian darah dan air kencing di klinik kesihatan berdekatan.

Kandungan gula dalam darah tinggi yang berpanjangan akan mengakibatkan kerosakan:

Mata

Katarak, pendarahan dalam mata dan menyebabkan buta

Saraf

Kebas atau kehilangan deria rasa pada tangan dan kaki dimana pesakit boleh mendapat kecederaan tanpa disedari. Ini boleh menyebabkan luka pada kaki dan gangrene(tisu-tisu mati) yang boleh mengakibatkan kehilangan kaki.

Otak

Angin ahmar (strok)

Buah pinggang

kegagalan buah pinggang

Jantung

Sakit jantung

Langkah-langkah kawalan
Anda boleh mengawal tahap gula dalam darah supaya sentiasa berada dalam paras normal dengan:

Mengawal pengambilan makanan

Mengambil makanan seimbang kerana pengambilan makanan berlebihan akan meninggikan tahap gula dalam darah

Melakukan senaman fizikal

Senaman dapat mengurangkan kandungan gula dalam darah dan membantu insulin bekerja dengan lebih berkesan. Senaman juga dapat membantu anda mengurangkan berat badan.

Ubatan

  • Jika anda pengidap jenis 1, anda memerlukan suntikan insulin
  • Jika anda pengidap jenis 2, anda mungkin hanya memerlukan pengambilan ubat hipoglisemia untuk menurunkan tahap gula dalam darah dan sesetengah mungkin memerlukan suntikan insulin.


Pastikan anda juga perlu melakukan:

Penjagaan kulit

  • Mandi setiap hari
  • Keringkan semua bahagian badan dengan sempurna
  • Merawat luka dan calar dengan segera
  • Berjumpa doktor jika luka tidak sembuh selepas 2 - 3 hari

Penjagaan kaki

  • Basuh kaki setiap hari
  • Keringkan semua bahagian kaki dengan sempurna terutama antara celah-celah jari kaki
  • Periksa kaki anda setiap hari untuk luka, calar, melecur atau apa-apa perubahan warna kulit.
  • Potong kuku jari kaki secara lurus
  • Tukar stoking anda setiap hari
  • Jangan berjalan tanpa kasut
  • Selalu pakai kasut yang lembut dan sesuai diguna di luar rumah.

Mengawasi diri sendiri
Anda digalakkan untuk melakukan pengawasan glukosa dalam darah. Kerap memeriksa tahap glukosa dalam darah boleh memberitahu keberkesanan cara anda mengawal penyakit kencing manis.

Penjagaan gigi

Kerap menjalani pemeriksaan mata

Mengelakkan minuman keras

Berhenti merokok

Penyakit kencing manis atau diabetes mellitus adalah penyakit kronik yang boleh dikawal dan diubati. Malah anda masih boleh menjalani kehidupan aktif dan normal walaupun anda telah disahkan menghidapi penyakit kencing manis. Yang paling penting ubah gaya hidup anda ke arah yang lebih sihat dan selalulah berjumpa dengan doktor bagi memastikan kandungan tahap gula dalam darah anda terkawal.

Sumber:http://www.diabetes.org.my/

0 Comments: