Ahad, Ogos 09, 2009

kencing manis (diabetes mellitus)

Penyakit kencing manis atau diabetes mellitus antara penyakit kronik yang menyebabkan peningkatan gula (glukosa) dalam darah. Glukosa diperlukan oleh badan kita sebagai pemberi tenaga. Badan kita mendapat glukosa daripada pencernaan kanji (karbohidrat), buah-buahan atau gula. Glukosa yang diserap oleh usus akan diedarkan melalui sistem peredaran darah ke semua organ di dalam badan.

Proses penghantaran dan pengedaran glukosa ke setiap organ dibantu oleh hormon insulin yang dikeluarkan oleh pankreas. Hormon insulin membolehkan glukosa diserap oleh sel-sel. Proses ini akan terganggu apabila organ tertentu tidak bertindakbalas kepada hormon insulin atau pankreas tidak mengeluarkan insulin secukupnya. Ini mengakibatkan glukosa tidak boleh dibawa ke dalam sel dan tisu dan seterusnya paras gula dalam badan akan meningkat.

Sabtu, Ogos 08, 2009

tekanan darah tinggi (hypertension)

Tekanan darah tinggi atau hypertension adalah antara penyakit 'pembunuh senyap'. Penyakit ini tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala yang begitu serious pada pandangan mata kasar sesiapa. Tetapi kesannya amat besar sekiranya penyakit ini tidak diambil peduli.

Marilah kita jenguk2 apakah tekanan darah tinggi, gejala dan cara untuk mengawalnya...

Apakah tekanan darah tinggi?

Tekanan darah tinggi adalah satu situasi di mana bacaan tekanan darah melebihi 140/90 mmHg sekurang-kurang tiga kali atau meningkat secara berterusan. Bagaimanapun, seseorang tidak diklasifikasikan sebagai pengidap tekanan darah tinggi jika bacaan tekanan darah melebihi paras biasa hanya sekali.

Penyakit tekanan darah tinggi berlaku apabila arteri atau dinding pembuluh darah menjadi keras dan menyukarkan darah untuk melaluinya. Akibatnya, tekanan darah meningkat dan jantung terpaksa bekerja lebih kuat. Sekiranya bacaan tekanan darah kekal pada kadar 140/90 mmHg atau lebih, ini bermakna anda berpotensi mengidap penyakit tekanan darah tinggi.