Katakanlah kita, sebagai contoh melihat kuih...kita boleh melihatnya dengan empat pandangan. Kalau kuih dipandang dengan pandangan mata, kita akan tahu apa nama kuih, warna dan bentuknya. Itu pandangan mata biasa.
Bagaimana pula jika kuih dipandang dengan pandangan akal? Ini adalah pandangan pakar pembuat kuih. Mereka ini memandang dengan penuh kajian dan penelitian. Dengan itu, mereka mampu menganalisis. Pakar masakan ini mempunyai ilmu yang cukup untuk mengkaji apakah kesilapan (jika ada) dan ketepatan pembuatan kuih tersebut. Inilah pandangan akal berbanding pandangan mata biasa.
Lain pula keadaannya dengan orang yang memandang kuih dengan pandangan nafsu. Mereka ini tidak ambil peduli langsung apakah bentuk, nama atau cara pembuatan kuih itu. Yang penting, makan dulu. Hinggakan dengan kegelojohan itu, dia tidak sempat bertanya siapa yang empunya. Inilah buruknya pandangan nafsu. Yang dipentingkan hanya kesedapan dan keseronokan.
Bagaimana melihat kuih dengan pandangan mata hati? Melihat dengan pandangan mata hati akan menyebabkan kita seolah-olah dapat melihat pembuat kuih tersebut. Katakanlah, anda sedang berada di luar negara. Tiba musim hari raya, anda mendapat kiriman daripada kampung. Apabila kiriman itu dibuka dan anda melihat kuih di dalamnya, dengan tidak semena-mena air mata anda mengalir. Apabila anda melihat sahaja kuih tersebut, hati anda menjadi sayu dan sedih. Kenapa?
Ya, kerana anda melihat wajah ibu anda (pembuat kuih) di sebalik kuih itu. Anda terkenang kasih sayang, keprihatian, kelembutan dan segala-gala yang baik daripada ibu anda. Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti, bukan sekadar pada tulang, daging dan urat ibu kita tetapi yang lebih bererti yakni budi, kasih dan sayangnya. Tanyakan pada hati kita, manakah pandangan yang lebih tepat dan murni? Pastinya hati kita akan menjawabnya, itulah pandangan mata hati!
Kesimpulan: Manusia memandang apa sahaja di muka bumi ini dengan empat pandangan iaitu:
- Pandangan mata
- Pandangan akal
- Pandangan nafsu
- Pandangan mata hati
Pilihlah jenis pandangan yang terbaik untuk kita...pandangan mata hati yang paling tepat dan hakiki...
Fahamilah...dan renung-renungkanlah!
Sumber: Majalah Solusi - Kesedaran: Celik Mata Hati
0 Comments:
Catat Ulasan