Selasa, Ogos 11, 2009

Persiapan Ramadan

Rejab sudah berlalu...Syabaan pun akan berlalu pergi tidak lama lagi dan Ramadan akan menjelang tiba... Tapi apakah persiapan kita untuk menyambut Ramadan? Adakah ia akan disambut se-'gah' seperti kita menyambut Hari Raya Aidilfitri? Sedangkan kita harus mengetahui bulan Ramadan adalah bulan penuh keberkatan dan didatangi pula Malam Lailatulqadar.

Sebelum tibanya Ramadan, Mil mengajak diri ini dan sesiapa sahaja memperlengkapkan diri dan membuat persiapan untuk menyambut Ramadan. Semoga amalan di Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita kerana kita tidak tahu mungkin Ramadan ini adalah Ramadan yang terakhir untuk kita.

Di sini Mil senaraikan persiapan untuk menyambut Ramadan:

  • Lakukan warm-up dengan berpuasa setiap Isnin dan Khamis.
  • Memulakan membaca al-Quran setiap hari dan tambahkan jumlah ayat yang dibaca berbanding sebelum ini.
  • Luangkan masa mendengar bacaan al-Quran.
  • Latih diri tidur awal, seolah-olah anda sedang berada dalam bulan Ramadan. Bukan itu sahaja, ikhtiarkan bangun awal seolah-olah anda perlu bersahur. Kemudian, hiasilah tabiat bangun awal dengan solat sunat dan bacaan al-Quran.
  • Sentiasa dalam keadaan berwuduk.
  • Muhasabah diri anda setiap hari sebelum tidur. Mintalah keampunan Allah atas setiap dosa yang dilakukan dan mohon Allah diberi kekuatan untuk kekalkan kebaikan yang telah dilakukan.
  • Berilah peluang kepada diri anda bersendirian supaya anda dapat meluangkan masa mengingati Allah dengan berzikir.
  • Bagi mereka yang mampu mengerjakan umrah dalam bulan Ramadan amatlah digalakkan kerana berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w., umrah yang dikerjakan dalam bulan Ramadan sama seperti mengerjakan haji.
  • Mulakan amalan bersedekah, sedikit demi sedikit.
  • Luangkan masa solat sunat seperti solat sunat rawatib, dhuha dan Qiamullail.
  • Tambahkan ilmu yang anda sangat perlukan semasa Ramadan. Jangan sesekali menyangka bahawa anda tahu segala-galanya tentang bulan yang dinanti-nantikan oleh hamba Allah yang soleh. Hasil bacaan juga boleh meningkatkan semangat anda untuk menyambut Ramadan dan beribadah semahunya.
  • Bantulah orang lain yang memerlukan dengan ilmu, kudrat dan kebolehan yang ada.
  • Dekatilah orang-orang yang berilmu, orang-orang yang soleh dan sebagainya supaya anda dapat belajar lebih daripada mereka.
  • Luangkan sedikit masa bersama ahli keluarga, rakan dan sesiapa sahaja disekitar anda dan berbincanglah tentang Ramadan yang bakal tiba, harapan, persiapan dan sebagainya.


Sumber : Majalah Solusi

Semoga Allah memberi kekuatan pada kita semua untuk mengerjakan ibadah puasa dan sunat di bulan Ramadan.

0 Comments: