Ahad, November 01, 2009

faedah lelap seketika kepada pekerja...

SESETENGAH daripada kita menganggap bahawa lelap atau tidur sebentar pada waktu siang adalah sifat orang yang malas. Tidak kurang juga yang berandaian bahawa rutin tidur sebegini mengganggu kesihatan.

Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa tidur sebentar pada waktu siang merupakan suatu amalan harian yang telah dipraktikkan oleh masyarakat di negara-negara Barat mahupun umat Islam sejak dahulu.

Ia dianggap sebagai praktis berkesan untuk menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai power nap.

Menyedari pentingnya isu itu telah menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat beberapa tahun lalu membangunkankan National Sleep Disorder Association sebagai agensi khas untuk mengkaji dan mempromosikan akan kesan positif tidur di waktu siang kepada semua pihak terutama para pekerja.

Sebagai golongan pekerja dalam pelbagai sektor, perkara ini perlu diambil perhatian walaupun budaya tidur sekejap di waktu siang ini belum begitu popular di negara kita.



Bayangkan daripada pagi hinggalah ke petang kita terlalu terfokus kepada tugasan dan kerja sehingga kita lupa untuk memberikan tubuh badan dan minda waktu rehat yang optimum dengan kaedah yang tepat.

Banyak kajian yang telah dilaksanakan oleh para sarjana dalam mengkaji akan kesan tidur sebentar di waktu siang. Mereka juga menghasilkan bahan-bahan ilmiah yang memberikan fakta tentang kebaikan tidur di waktu siang ini.

Contoh buku popular yang boleh diperoleh di pasaran adalah seperti The Art of Napping at Work karya Anthony dan Anthony, Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping oleh Dinges dan Broughton dan sebagainya.

Para sarjana ini cuba menghimpunkan bukti-bukti secara saintifik tentang kebaikan tidur sebentar di waktu siang terutamanya bagi para pekerja dalam mengekalkan produktiviti kerja seharian yang mantap.

Telah dibuktikan secara saintifik bahawa waktu tengah hari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika.

Sistem pekerjaan yang kebiasaannya memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengah hari, berbual-bual kosong dengan rakan-rakan, melayari Internet dan sebagainya.

Pada masa inilah sistem badan manusia bersedia untuk memanfaatkan fasa berehat setelah berjam-jam keletihan akibat dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran serta pendedahan dan penggunaan tenaga fizikal dan mental ketika bekerja.

Keletihan bekerja memuncak pada waktu tengah hari yang mana ia boleh mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah.

Fasa tengah hari ini dipanggil oleh para sarjana sebagai fasa kelesuan pada pertengahan hari. Tempoh untuk tidur pula dikatakan mencukupi dalam lingkungan 30 hingga 40 minit.




Ini adalah kerana waktu tidur yang berlebihan pula akan menyebabkan gangguan kepada tubuh badan yang akan menjadi lesu dan malas untuk bekerja semula.

Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot-otot yang digunakan secara aktif semasa bekerja sejak pagi.

Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan menjadi lebih tenang daripada stres sebaik bangun daripada tidur dan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif, berkesan dan efisien menganjur ke petang hari.

Daripada perspektif Islam, tidur di waktu siang turut diiktiraf sebagai salah satu amalan yang baik.

Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa 'hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari'.

Tidur sekejap di waktu siang bertujuan untuk menyegarkan semula bukan sahaja jasmani, malah rohani seseorang untuk beramal ibadah dan melaksanakan rutin hariannya.

Atas kesedaran tentang implikasi positif daripada tidur sekejap di waktu siang ini, banyak organisasi di Barat yang menggalakkan para pekerja untuk mengamalkannya.

Sehingga ke satu tahap, dikatakan terdapat majikan yang menyediakan ruang yang khas untuk tidur sementara (yang lengkap dengan kerusi malas, kusyen, tuala muka dan haruman) bagi para pekerjanya selain daripada pantri atau kantin untuk makan.

Majikan atau pengurusan organisasi diharapkan faham akan keperluan rehat para pekerja. Cuba elakkan untuk mengadakan mesyuarat atau memberi sebarang tugas kepada pekerja sehingga mengganggu waktu rehat tengah hari mereka.

Begitu juga dalam kalangan pekerja yang perlu mengikis pandangan serong apabila terjumpa rakan-rakan yang tidur di pejabat dan tidak memberikan banyak masa untuk makan atau bersosial pada waktu rehat.

Begitu juga dengan para pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan yang perlu faham dan tidak bersungut apabila sesetengah kaunter ditutup untuk memberi ruang rehat seadilnya kepada semua pekerja.

Mungkin amalan tidur sekejap sebegini belum kelihatan praktikal dan janggal dalam kalangan warga pekerja di negara kita. Pun begitu, pokok pangkalnya sebagai orang yang bekerja kita boleh cuba untuk mengadaptasi amalan tidur sekejap ini yang telah terbukti keberkesanannya dalam mengekalkan kecergasan dan kecerdasan diri.

Sebagai pekerja, jika fizikal, mental dan emosi kita dapat direhatkan sebentar pasti kita dapat mengekalkan prestasi kerja yang baik sehingga ke minit terakhir kita bekerja sehari-harian.


Sumber : Utusan Malaysia Online 27/10/2009

0 Comments: