Ada seorang perempuan tua yang taat
beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan
kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.
Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah
setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu
sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya
dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.
Suaminya berkata sambil mengejek,
"Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."
Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya
dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu
hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti, akan aku buat kamu kecewa dengan
bacaan-bacaanmu itu."
Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan
isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata,
"Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di
tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan
oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit
tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.
Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu
memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan
kepada engkau dahulu untuk disimpan."
Kemudian isterinya pergi ke tempat dia
menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia
menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca,
"Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar
malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu
kepada suaminya kembali.
Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa
bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia
bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah
apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.